Wednesday, October 6, 2010

Pesan ayah jadi azimat



Syarifah Hanafiah (duduk dua dari kanan) tabah meneruskan kehidupan bersama anak-anak.


Kemiskinan bukanlah batu penghalang. Pesan ayah masih terngiang-ngiang di gegendang…peluang yang bertandang hanya sekali; jika terlepas belum tentu ketemu lagi!"

Demikianlah luah bicara Maryam Muneerah Ahmad, 19. Anak sulung dan gadis pingitan yang bakal bergelar seorang pendidik.

"Ayah sudah meninggalkan kami, kira-kira tiga tahun lalu. Emaklah galang gantinya, membanting tulang empat kerat demi sesuap nasi. Emak tegar demi melihat kami berjaya.

"Ayah sangat menitik beratkan pendidikan agama di kalangan kami anak-anaknya. Masakan dapat saya luputkan dari ingatan ini, ketika di tingkatan satu dahulu, ayah sanggup bersusah-payah menemui ustazah di sekolah, apabila ayah dapat tahu saya hanya dapat 18 markah dalam pelajaran Bahasa Arab.

"Ayah tanya kepada ustazah, apakah kamus Bahasa Arab yang terbaik untuk saya. Sebabnya, ayah mahu saya mahir dalam bahasa syurga ini.

"Saya tahu, apa impian ayah. Emak selalu memberitahu kami semua adik-beradik, bahawa pendidikan adalah keutamaan ayah.

"Saya juga masih ingat, ayah kemalangan dan menderita kesakitan kerana kedua-dua buah pinggangnya rosak. Setiap minggu banyak kali ayah perlu ke hospital, mencuci buah pinggangnya. Jika emak dan ayah ke hospital, sayalah yang membantu melihat adik-adik.

"Emak menjadi pencuci di Hospital Sabak Bernam. Ayah pula sakit tidak mampu berkerja. Kami susah betul masa itu. Bayangkan, ada sembilan anak-anak yang perlu dibesarkan".

Demikianlah gambaran kehidupan penuh ranjau Maryam Muneerah dan adik-adiknya dibesarkan ibu tercinta, Syarifah Hanafiah, 42.

Di samping Maryam Muneerah, adik-adiknya yang lain ialah Muhamad Abdullah Fikri, 17; Muhamad Tohar, 15; Ahmad Ibrahim, 14; Zainab, 12, Ahmad Idris, 11; Ahmad Ayub, 9; Aminah, 7 dan Ruqaiyah, 5.

"Setelah kematian ayah pada tahun 2004, kami semua bagai anak-anak ayam kehilangan induknya. Benar, ibu masih ada. Tapi, saya pernah dengar ibu berkata, kehadiran ayah di sisi walau tidak mampu memberi; namun cukup bererti. Ayah hakikatnya adalah tonggak kekuatan dan sumber inspirasi buat ibu dan kami.

"Mujurlah, dalam kekalutan itu kami dipertemukan dengan Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). "Alhamdulillah, ibu telah didaftarkan sebagai asnaf miskin dan mulai tahun 2005 juga kami telah menerima pelbagai bantuan daripada LZS (MAIS). JKM menyalurkan bantuan sejak 2003 lagi," jelas Maryam.

Alhamdulillah, kini segala harapan dan cita-cita Ahmad Mohd. Hassan yang telah kembali ke rahmatullah telah menjadi kenyataan. Anaknya Maryam Muneerah adalah seindah namanya, menjulang nama keluarga apabila diisytiharkan antara pelajar cemerlang di bawah tajaan LZS (MAIS).

"Kini, saya sudah mampu berinteraksi dengan baik di dalam Bahasa Arab. Malah saya mendapat pangkat Mumtaz (cemerlang) di dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). "Hasilnya, saya mendapat tawaran mendaftarkan diri ke Universiti Malaya bagi menyiapkan kursus Bahasa Arab dan Linguistik pada Julai 2007," katanya gembira.

Demikianlah bangga dan gembiranya Maryam Muneerah, yang juga merupakan bekas pelajar terbaik Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Batu 38, Sabak Bernam, Selangor.

"Saya bercita-cita dan berazam untuk terus mendalami Bahasa Arab. Saya mahu menjadi pensyarah Bahasa Arab. Nanti saya dapat Bantu adik-adik saya yang ramai ini. Saya nak ringankan beban emak".

Demikianlah sambung Maryam Muneerah bersungguh-sungguh sambil melirik mesra kepada ibunya.

Sementara itu, Syarifah berkata, beliau memang menegaskan kepada anak-anak bahawa untuk menjadi orang yang dihormati maka hendaklah mempunyai ilmu.

"Ingatlah kemiskinan yang dilalui oleh ibu mereka sekarang. Jika mereka malas belajar, maka inilah yang bakal mereka warisi…kemiskinan!

"Sebab itulah, makcik tidak pernah walau sekali menyerah diri kepada kemiskinan. Apa yang makcik tahu, ialah terus berusaha.

"Arwah suami makcik dahulu pernah berpesan, anak-anak ini jangan dititipkan kepada sesiapa pun. Jagalah semuanya sekali dan yakinlah bahawa mereka boleh berjaya," katanya.

Untuk itu, Syarifah sentiasa memantau kegiatan anak-anak. Dua daripada anaknya dihantar ke asrama.

"Makcik percaya, mereka boleh berjaya jika ada dorongan berterusan daripada ibu. Jadi, di samping makcik memberi dorongan, makcik tidak pernah berhenti berdoa kepada Allah SWT," jelasnya.

Demikianlah sebuah catatan kisah benar yang kini terus berdenyut nadinya. Keluarga ini meneruskan langkah dengan gagah di Desa Kasih Merbau Berdarah, Sungai Besar, Selangor